Memacu transformasi digital pendidikan tinggi ASEAN



​​Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 





TUNGKU LINK, Khamis, 25 Jun. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) menganjurkan Mesyuarat Tahunan Rangkaian Tematik ASEAN University Network - Digital Transformation (AUN Dx) Ke-2, mesyuarat berlangsung selama dua hari iaitu 25 hingga 26 Jun 2026, di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, di sini, menghimpunkan wakil daripada universiti ahli AUN Dx untuk memajukan kerjasama serantau dalam pengurusan ICT, transformasi digital, dan tadbir urus Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan tinggi.


Mesyuarat dirasmikan oleh tetamu kehormat, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.


Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengarah Pusat Teknologi Komunikasi Maklumat (ICTC), UBD, Dr. Haji Abdul Ghani bin Haji Naim, diikuti ucapan Pengerusi Lembaga Eksekutif AUN Dx, Prof. Madya Dr. Thakerng Wongsirichot dan Pengarah Eksekutif Rangkaian Universiti ASEAN (AUN), Prof. Madya Dr. Thanapan Laiprakobsup.


Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Haji Abdul Ghani berkata, “Di seluruh rantau kita dan di seluruh dunia, institusi pengajian tinggi sedang mengemudi perubahan teknologi yang pesat, ekosistem digital yang berkembang, dan pengaruh Kecerdasan Buatan yang semakin meningkat.


“Perkembangan ini memberikan peluang penting dan cabaran yang kompleks. Oleh itu, adalah penting untuk kita berkumpul bukan sahaja untuk bertukar-tukar idea, tetapi juga untuk membangunkan bersama rangka kerja, piawaian dan strategi yang relevan, praktikal dan berkesan," tambahnya.


Prof. Dr. Thanapan Laiprakobsup menyatakan, memandangkan transformasi digital terus membentuk pendidikan tinggi di seluruh ASEAN, kami mengiktiraf peranan penting AUN Dx dalam mengukuhkan kapasiti universiti dalam menyahut cabaran yang muncul, serta dalam memupuk kerjasama serantau dalam memajukan amalan inovatif.


Prof. Dr. Thakerng Wongsirichot menambah, Rangka Kerja AUN Dx telah diperhalusi secara berterusan dengan tujuan untuk mewujudkan rangka kerja terkemuka dan bersatu yang menggalakkan amalan terbaik dalam perkhidmatan digital dan pembinaan kapasiti untuk transformasi digital merentas komuniti AUN.


Majlis perasmian tersebut menampilkan ucaptama oleh Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle, bertajuk 'Living with AI: The Role of UBD in Brunei's Digital Future'.


Ucaptama tersebut mengkaji bagaimana Kecerdasan Buatan membentuk semula pendidikan tinggi dan menyeru universiti untuk perlahan-lahan 'hidup dengan AI' dan bukannya ditadbir olehnya, sambil mengekalkan pelajar, pendidik dan tujuan institusi sebagai pusat transformasi digital, berpaksikan oleh tadbir urus yang kukuh dan berasaskan inisiatif UBD sendiri dalam literasi digital dan pembinaan kapasiti.


Diadakan selama dua hari, Mesyuarat Tahunan menjemput wakil dari Universiti Ahli AUN dan Universiti Ahli Bersekutu AUN Dx, bersama-sama pegawai dari Sekretariat AUN Dx dan Sekretariat AUN, untuk bengkel mengenai Rangka Kerja AUN Dx Versi 2.0 dan Rangka Kerja Tadbir Urus dan Etika AUN Dx AI Versi 1.0, di samping perbincangan panel mengenai hala tuju rangkaian masa hadapan.


Ditubuhkan berikutan kelulusannya pada Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah AUN Ke-39 pada Julai 2024, Rangkaian Tematik AUN Dx berkhidmat sebagai platform untuk institusi pengajian tinggi ASEAN berkongsi kepakaran, menyeragamkan amalan pengurusan ICT, dan mengukuhkan kapasiti institusi untuk transformasi digital.


Sebagai tuan rumah Mesyuarat Tahunan Rangkaian Tematik AUN Dx Ke-2, UBD mengesahkan komitmennya terhadap kerjasama serantau dalam transformasi digital dan tadbir urus ICT.


Mesyuarat berkenaan juga mencerminkan usaha UBD sendiri dalam ruang ini, setelah menyepadukan AI generatif ke dalam kurikulum, penyelidikan dan dasar kampusnya, dengan pelan hala tuju transformasi digital yang sedang dibangunkan untuk membimbing hala tuju masa depannya.


Close